Sejarah Seorang Sybil Kathigasu, Jururawat Yang Terseksa Hidupnya - Tunsha Ayunie Punya Belog

August 31, 2016

Sejarah Seorang Sybil Kathigasu, Jururawat Yang Terseksa Hidupnya

Sejarah tentang Sybil Kathigasu ni tak ramai pun orang tahu. Even haritu masa aku tengok cerita ni kat rumah Mama, Ain si adik ipar aku pun tanya aku kenapa orang tak expose pasal kisah Sybil Kathigasu ni. Entahlah, aku tak ada jawapan.



BIODATA SYBIL KATHIGASU
Sybil Kathigasu - Beliau merupakan seorang Katolik dan vegetarian juga pejuang yang telah menyelamatkan ramai nyawa khususnya kaum Cina semasa Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Masa tu, Masyarakat Cina di Malaysia menganggap beliau seorang yang berhati mulia.

Lahirnya Sybil Kathigasu sebagai Sybil Medan Daly pada 3 September 1899 di Medan, Sumatera, Indonesia. Bapanya Joseph Daly, seorang peladang berketurunan Ireland-Serani(Eurasian) dan ibunya Beatrice Matilda Daly nee Martin, seorang bidan berketurunan Perancis-Serani(Eurasian). Nama tengah beliau sempena mengingati bandar kelahiran beliau, Medan.

Sybil membesar di Tanah Melayu. Beliau mendapat latihan sebagai seorang jururawat dan bidan di Singapura ketika berumur 21 tahun. Kemudian beliau berkahwin dengan Dr.Abdon Clement Kathigasu, seorang doktor berketurunan Tamil Cylon (Cylon-Sri Lanka) pada 7 Januari 1919 di Gereja St.John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Dikurniakan 3 orang anak kandung dan seorang anak angkat - William Pillay (anak angkat), Micheal Kathigasu (meninggal dunia selepas 19 jam dilahirkan), Olga Kathigasu dan Dawn Kathigasu. 

Sybil dan suaminya mengendalikan sebuah klinik di Brewster Road (sekarang dikenali sebagai Jalan Sultan Idris Shah), Ipoh, Perak selama 15 tahun. 

SEJARAH SYBIL SEBELUM TERSEKSA
Satu ketika, apabila Tanah Melayu dijajah oleh Jepun pada tahun 1942, mereka terpaksa bersembunyi dan berpindah ke Pekan Papan, Perak kira-kira 20km di barat bandar Ipoh. Bandar ni ramai penduduk Cina yang bekerja sebagai pelombong dan peniaga.

Tentera Jepun memburu penduduk Cina dan membunuh mereka lanjutan sejarah panjang di China. Mereka dikerah membina jambatan dan Landasan Keretapi Maut di sempadan Thailand-Myanmar. 

Sybil dan suaminya mula memberikan bantuan perubatan dan maklumat kepada gerakan bawah tanah melalui rumah kedai Kathigasu di Pekan Papan, Perak. Mereka kemudian membuka semula klinik rahsia dan ramai pesakit antaranya Tentera Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) yang mendapatkan rawatan disitu. Ketika itu seramai 6000 pejuang gerila MPAJA menentang tentera Jepun. Ketika itu juga Sekolah St Micheal telah menjadi ibu pejabat polis tentera Jepun. Ramai pemimpin Cina yang telah dipancung tanpa belas.

Gambar hiasan - Lakonan semula dalam filem Sybil Kathigasu....Apa Dosaku?

KISAH DUKA SYBIL KATHIGASU SEMASA DITANGKAP TENTERA JEPUN
Sybil Kathigasu dan suaminya telah ditangkap oleh tentera Jepun dan diseksa apabila kegiatan mereka membantu gerila anti-Jepun terbongkar.  Kukunya dicabut dan jarum ditusuk di bawah kukunya. Kaki melecur kerana besi panas, dipukul dengan batang buluh dan siksaan rawatan air.

Tulang belakangnya rosak, tulang patah dan rahang patah. Beliau disoal siasat kerana membantu gerila anti-Jepun dan menyimpan radio. Radio itu digunakan untuk mendapatkan maklumat dan rahsia semasa daripada radio BBC.

Kemudian beliau disumbat ke Penjara Baru Gajah pada 1943 setelah Kempetai Jepun memberi maklumat mengenai peranan beliau. Beliau terselamat dari perang. Perang Dunia Kedua berakhir pada Ogos 1945. Selepas tiga minggu, Kapten David iaitu tentera British datang semula ke Tanah Melayu dan menemui Sybil di Penjara Batu Gajah. Sybil dibebaskan dan dibawa semula ke Papan dan dihantar segera ke England dengan kapal terbang untuk menerima rawatan.

SYBIL KATHIGASU MENINGGAL DUNIA
Beliau meninggal dunia pada usia 49 tahun pada 4 Jun 1948 di Hospital Lanark, Scotland, Britain akibat Septicaemia disebabkan oleh luka lama pada rahang, akibat sepakan but Yoshimura, orang yang menyeksa beliau. Glasgow City Medical Center telah melakukan bedah siasat terhadap mayat beliau dan mendapati organ-organ dalamannya rosak teruk. 

Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Lanark dan kemudian pada tahun 1949, jenazah beliau dibawa kembali ke Ipoh dan disemadikan di perkuburan Roman Katolik bersebelahan Gereja St Micheal yang berdekatan dengan Main Convent of Holy infant Jesus (dikenali SMK COnvent sekarang), di Brewster Road.


ANUGERAH
Sebelum meninggal dunia, beliau menerima Pingat King George IV di Istana Buckingham pada Jun 1948 kerana jasa-jasanya. Hingga setakat ini, tidak ada wanita di Malaysia yang memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan sepertinya. Hari ini, rumah kedai di 74, Jalan Utama, Papan, berfungsi sebagai Rumah Peringatan Sybil berhampiran Rumah Raja Bilah.

Sybil adalah wanita Tanah Melayu yang pertama dianugerahkan Pingat George oleh King George VI England, ianya merupakan satu pengiktirafan keberanian orang awam dalam menghadapi tindakan musuh.


DOKUMENTARI
Kisah hidupnya diabadikan dalam siri drama dokumentari 'Suatu Ketika : Sybil..... Apa Dosaku?' berdasarkan memoir No Dram of Mercy yang terbit pada 1954. Watak Sybil Kathigasu dalam drama ini telah dilakonkan oleh Elaine Daly, cucu beliau sendiri. Diarahkan oleh Bernard Chauly dan telah menerima anugerah pada tahun 2010.
.
.
.
Bila tengok cerita ni, betapa sedih dan sebaknya tengok perjuangan seorang wanita demi menyelamatkan orang sekelilingnya. Dia sanggup diseksa demi menegakkan keadilan. Rest in peace, Sybil Medan Daly @ Sybil Kathigasu.

Salam Kemerdekaan Ke-59. Semoga hati pemimpin terbuka dan menjadi seorang yang dikagumi oleh rakyat jelata. Amin.

Sekian.

1 comment:

Terima kasih sudi komen. Setiap komen dari pembaca adalah hak milik pembaca. Penulis tidak akan bertanggungjawab jika ada sebarang komen berunsur provokasi atau kata-kata kesat.